Asam Garam Kehidupan: Apakah maksud Ummiy Rasulullah SAW

Nuffnang

Pages

19 Jul 2013

Apakah maksud Ummiy Rasulullah SAW

Semoga Allah mengampunkan kita di atas salah tanggapan dan salah tafsir terhadap status Baginda SAW sebagai seorang Rasul yang Ummiy. Selama ini kita difahamkan bahwa Ummiy itu bererti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau dalam istilah lain buta huruf. Jika begitu fahaman kita ertinya kita menganggap Baginda orang yang tidak belajar atau orang yang bodoh. Ensiklopedia barat juga mendefinasikan Nabi Muhammad sebagai seorang yang illiterate. Bagi orang tidak prihatin, hal ini mungkin tidak menjadi apa-apa masalah baginya. Tapi bagi yang prihatin, yang hatinya terbuka dan sensitif akan merasakan seolah-olah ada yang tidak kena dengan maksud Ummiy ini. Mana mungkin seorang Rasul yang kemuliaannya sampai namanya digandingkan dengan nama Tuhan, dikatakan buta huruf.

Sebenarnya yang dimaksudkan Ummiy itu ialah seorang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa. Tujuan belajar adalah supaya menjadi pandai, dengan mengisi ilmu kepada akal dan roh. Itulah hakikatnya. Jika akal dan roh tidak diisi dengan ilmu maka seseorang itu tidak akan menjadi pandai.

Orang yang hendak menjadi pandai secara biasa kenalah melahirkan sebab lahiriah untuk mencapai matlamatnya. Contohnya melalui menulis, membaca, berguru, belajar di sekolah dan lain-lain.

Oleh kerana Rasulullah itu orang luar biasa, Allah pandaikan Baginda tanpa melalui proses biasa. Demikianlah Maha Besarnya Tuhan, Rasulullah dipandaikan melalui proses luar biasa. Rasulullah belajar tetapi tidak perlu menulis, membaca, berguru, atau belajar di sekolah. Oleh itu sama sekali tidak benar jika dikatakan Rasululah tidak belajar. Sebenarnya maksud Ummiy ialah baginda itu TIDAK PERLU kepada membaca dan menulis.

PERBAHASAN UMMIY

Mari kita bahaskan pula perkataan Ummiy itu. Ummiy didasarkan kepada 'ibu'.

1. Ibu kalau dibahaskan secara lahir ia merupakan punca zuriat kerana ibu melahirkan. 

2. Bagi yang tidak bernyawa ada juga disebut ibu. Contohnya ibu roti. Daripadanyalah roti dihasilkan. Ia disebut ibu juga.

3. Ibu secara batin atau maknawi pula mempunyai erti yang lebih hebat. Ibu dan ayah pada diri kita ialah akal dan roh. Tanpa akal dan roh tiada erti apa-apa. Sebab itulah Allah terus bagi ilmu kepada Rasulullah tanpa menggunakan alat. Itulah sebabnya Rasulullah dikatakan Ummiy iaitu belajar secara terus dari Allah. Allah terus campakkan ilmu pada ibu dirinya iaitu akal dan roh. Oleh itu salah besarlah jika dikatakan Rasulullah tidak belajar.

Rupa-rupanya begitu hebat Allah memproses hamba-hamba yang dikehendakiNya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. Itulah sebenarnya mukjizat Rasulullah yang cukup agung dan hebat. Ummiy itu adalah lambang kebesaran Rasulullah yang sebenarnya. Layaklah Rasulullah itu dikatakan ibu, kerana baginda ibu segala ilmu, ibu segala kebaikan, ibu kepada perjuangan, ibu kasih sayang, ibu perpaduan dan lain-lain lagi kerana dari segala ibu itulah lahir ilmu, kebaikan, perpaduan, kasih sayang, perjuangan dan lain-lain. 

Firman Allah yang bermaksud:
" Dan sesungguhnya Al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam. Ia dibawa turun oleh Ar Ruhul Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan"
(Asy Syu'ara: 192-194)

Malah yang membenarkan dan melayakkan lagi baginda menjadi ibu berlandaskan gelaran Ummiy tersebut ialah kerana rohnya atau Nur Muhammad adalah ciptaab Tuhan yang pertama. Dari kerana kebesaran dan kemuliaan Nur Muhammad inilah diciptakan langit dan bumi, haiwan, tumbuhan, syurga, neraka dan lain-lain. Begitulah hebat dan mulianya Rasulullah hinggakan baginda dilantik menjadi penghulu manusia dan namanya diangkat sebaris dengan nama Tuhannya.

MUSUH-MUSUH ISLAM MENGELIRUKAN MAKSUD UMMIY.

Musuh-musuh islam terutama Yahudi dan puak orientalis sebenarnya sangat kenal  siapa Rasulullah. Kehebatan dan kemuliaannya ada dalam pengetahuan dan kajian mereka. Lalu mereka cuba mengelirukan pemikiran umat islam dengan mengatakan bahawa" Rasulullah itu Ummiy yakni tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa Al-Quran itu bukan bukan dari tulisan Rasulullah"

Nampak macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi sebenarnya mereka menutup maksud Ummiy yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah SAW . Akhirnya umat islam dari generasi ke generasi beranggapan Rasulullah itu buta huruf, dan kesan psikologi terhadap pemahaman palsu ini menyebabkan umat islam menjadi mundur. Bukan setakat miskin ilmu, harta, kemajuan dan lain-lain tetapi yang lebih parah dari itu ialah miskin iman.

Usaha untuk memperkecilkan martabat Rasulullah SAW memang telah sekian lama dirancang oleh musuh islam. Mereka sengaja hendak memperlihatkan Rasulullah sebagai tidak bertamadun agar umat islam juga akan mencontohinya. Kebesaran dan kemuliaan Rasulullah cuba ditutup dan disembunyikan.

Untuk memperlihatkan dengan lebih jelas bahawa Ummiy adalah salah satu mukjizat besar Rasulullah mari kita lihat pula kaedah menuntut ilmu melalui proses luar biasa ini. Rasulullah itu digelar Ummiy kerana padanya diberikan ibu segala ilmu. Sepertimana Al-Fatehah dikatakan Ummul Kitab kerana di  dalamnya intipati seluruh Al-Quran. Begitu jugalah dengan Rasulullah di mana wahyu yang diturunkan kepadanya adalah ibu segala ilmu. Oleh kerana apa yang dianugerahkan kepadanya adalah ilmu segala ilmu, ia tidak boleh diterima melalui proses biasa. Ibarat seorang yang ingin mengail ikan yang besar, mestilah menyediakan mata kail yang besar dan kuat, umpan yang baik, tali yang kuat dan teguh sesuai dengan ikan yang hendak dipancing.

Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan seperti mana Rasulullah mendapat wahyu. Tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. Ilmu wahyu yang Allah anugerahkan pada baginda diajar  terus kepada ibu dirinya iaitu akal dan rohnya. Ilmunya bukan dari sumber membaca dan menulis.

No comments:

Post a Comment

Baju Muslimah

Asam Garam Kehidupan Copyright © 2016. Designed by MaiGraphicDesign